Monday, February 1, 2010

Ainun mata

Aku seorang yang rabun jauh. Aku mula memakai kaca mata pada usia 13 tahun. Pada usia 16 tahun pula aku mula memakai kanta lekap, hadiah daripada parents. Sejak dari situ, kaca mata hanya dipakai ketika di rumah atau ketika kemalasan melanda diri.

Semalam sewaktu di carrefour Subang, aku ternampak promosi berkaitan Lasik iaitu Laser Assisted In Situ Keratomileusis.  Sebelum ini memang pernah aku dengar mengenainya malah rakan sekolahku juga pernah melalui rawatan tersebut. Dan kini dia tidak memakai kaca mata atau kanta lekap lagi. Tetapi bagi aku perkataan laser sudah cukup membuatkan aku gerun dan kecut perut.

Mengikut brosur yang aku dapat, Lasik adalah prosedur yang berupaya memperbaiki rabun dekat dan rabun jauh. Rawatan ini hanya mengambil masa dalam 20 minit dan memerlukan masa yang minima untuk sembuh. Tetapi mengikut kata promoter tu, tidak semua orang sesuai menjalani rawatan tersebut. Oleh itu, pemeriksaan mata dan konsultasi percuma diberi terlebih dahulu bagi mengenal pasti tahap kesesuaian pesakit. Harga promosi adalah RM2,888.00 bagi kedua-dua belah mata. Mahal kan? Tetapi setahu aku dulu lagi mahal. Kalau aku nak buat lasik ni, kena pakai CC la gamaknya dan buat 12 bulan installment. Aku rasa lasik adalah pilihan terakhir ku.

Dan semalam juga di carrefour aku terjumpa produk Permata Hijrah, produk yang popular masa kini. Aku sangat teruja dengan produk ini kerana ia menggunakan air zam-zam. Produk penawar mata ini terdapat 4 jenis yang berharga RM29.90, RM59.90, RM189.90 dan RM599.90. Aku disarankan oleh akak yang menjual tu untuk mencuba kotak pink berharga RM29.90 kerana power kurang 300. Siang tadi dah pakai sekali dan kini mata kananku terasa tidak selesa. Mungkin tindak balas toner ni kot. Kejap lagi sebelum tidur akan ku titiskan lagi toner itu ke mata ku. Harap-harap esok bolehlah aku pakai kanta lekap tanpa masalah. Sekiranya toner ni ok, bulan depan aku ingin mencuba kotak hitam pula, harganya RM59.90 iaitu toner untuk dipakai waktu malam. Tiada lagi ku telan pil natberry yang harganya lebih mahal dari toner Permata Hijrah ni.
Mama pun seperti berminat ingin mencuba toner Permata Hijrah tapi biarlah anaknya cuba dulu ye. Dulu masa mama hampir buta akibat diabetes, mamaku hanya mengamalkan zikir Ya Basir. Sebulan selepas itu, mata mama beransur pulih dan tidak perlu dibedah. Tetapi kemudiannya mata mama boleh melihat benda-benda yangt tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Seram pulak bulu romaku. Selepas itu, mama pun berhenti mengamalkan zikir tersebut. 

Oh ya, kelmarin aku ingin beli kanta lekap bagi menggantikan kanta lekap ku yang telah expired. Amat memeranjatkan kini harga kanta lekap hanya RM20.00 untuk kegunaan sebulan. Apa lagi, terus ku rembat aje... Alhamdulillah jimat duitku!

No comments: